Wednesday, June 30, 2010

Muzium DiRaja

Muzium Di Raja


Bangunan ini yang berasal dari "Istana Kota Setar" merupakan sebuah bangunan kayu yang dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710-1778) iaitu pengasas Bandar Alor Star dalam tahun 1735. Bangunan ini pernah mengalami kerosakan beberapa kali akibat serangan Tentera Bugis (1770) dan Tentera Siam (1821).

Bangunan batunya telah disiapkan pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879). Baginda pernah bersemayam di istana ini bersama permaisurinya Wan Hajar Wan Ismail atau dikenali dengan panggilan "Mak Wan Besar". Kerana itu, istana ini juga terkenal dengan nama "Istana Mak Wan Besar".

YTM Tunku Abdul Rahman Putra juga telah diputerakan bersebelahan dengan istana ini (Bangunan Pagoda, yang kini sudah tiada lagi) pada 8 Februari 1903 dan pernah dibesarkan di istana ini sewaktu ayahandanya Almarhum Sultan Abdul Hamid dan bondanya Mak Che Manjalara bersemayam di sini.

Istana ini juga dikenali sebagai "Istana Pelamin" apabila ruang istana ini diperbesarkan untuk dijadikan astaka dan bilik-bilik tambahan apabila Sultan Abdul Hamid Halim Shah hendak melangsungkan perkahwinan lima orang putera-puterinya. Upacara perkahwinan secara besar-besaran ini mengambil masa tiga bulan dalam tahun 1904.

Selepas tahun 1941, istana ini pernah digunakan sebagai sekolah dan pejabat beberapa persatuan termasuk Pejabat Pergerakan St. John dan Pengakap. Pada 25 Julai 1983, bangunan istana ini diisytiharkan sebagai "Muzium Diraja Kedah".

Di dalam Muzium Diraja Kedah ini, diletakkan barang-barang diraja. Terdapat alat muzik tradisional, pakaian-pakaian baginda sultan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment