Wednesday, June 30, 2010

Balai Besar, Balai Nobat dan Balai Seni

Balai Besar


Bangunan ini asalnya berfungsi sebagai Balai Rongseri atau Balai Penghadapan, merupakan sebahagian daripada Kompleks Istana Kota Setar yang terletak di belakangnya. Bangunan asalnya dibina dalam tahun 1735 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710-1778). Tiang, atap dan lantainya diperbuat daripada kayu.

Bangunan ini pernah musnah akibat serangan Armada Bugis (1770) dan Siam (1821). Pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26 (1882-1943), bangunan ini dibaikpulih (1896) diketuai oleh Muhammad bin Lebai Tambi, arkitek dari Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah untuk melangsungkan perkahwinan putera-puteri baginda lima bersaudara (1904).

Di samping majlis perkahwinan, Balai Besar ini juga digunakan untuk majlis pertabalan, majlis-majlis rasmi, persidangan Majlis Negeri (State Council) semenjak tahun 1905 sehingga tahun 1973.

Dua orang Sultan Kedah yang pernah ditabalkan secara rasmi di Balai Besar ini ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Sultan Kedah ke-22 (1804-1845) pada tahun 1805 dan KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu'Adzam Shah pada 20 Februari 1959.


Rekabentuk Bangunan.


Rekabentuk Balai Besar bercirikan rumah Melayu bumbung panjang. Di sebelah kiri kanan Balai Besar adalah serampi. Serampi sebelah kanan singgahsana ialah tempat anak-anak menteri, hulubalang dan anak-anak pembesar serta rakyat baik-baik. Di serambi kiri ialah tempat alim ulama, saudagar-saudagar dan rakyat baik-baik. Di tengah balai ialah tempat "anak-anak istana" iaitu pemegang alat-alat kebesaran DiRaja bersama dengan menteri dan pegawai kanan kerajaan mengikut status masing-masing hinggalah kepada rakyat biasa.

Tiang dan alangnya diperbuat daripada kayu cengal yang bermutu dari negeri Kedah. Bumbungnya diperbuat daripada atap rembia. Di hadapan Balai Besar didirikan dua buah tangga besar, kiri dan kanan untuk naik ke dewan besar, rumah tangga, serambi kanan, serambi kiri serta astaka dan singgahsana dan Balai Siak iaitu bahagian belakang sekali bangunan tersebut.







Balai Nobat


Balai Nobat yang terletak berhadapan dengan Mahkamah Tinggi dan Wisma Negeri di tengah bandar Alor Star. Bangunan ini dibina bagi menggantikan Balai Nobat lama yang diperbuat dengan kayu dan berbumbungkan zink.
Menjelang pembukaan Bandar Alor Star pada tahun 1735 oleh Sultan Mahammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710-1778), beberapa bangunan awal yang siap dibina termasuklah Istana Kota Setar, Balai Besar, Balai Nobat dan Masjid Negeri. Rekabentuk Balai Nobat yang asal tidak dapat dikenal pasti tetapi jelas ianya diperbuat daripada kayu.

Pada Zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-25 (1854-1879), Balai Nobat yang baru setinggi lima tingkat telah dibina. Seluruh bangunan ini dibina daripada kayu dan beratapkan zink.

Pada zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26 (1882-1943), bangunan baru diperbuat daripada batu dan logam. Rekabentuknya sama seperti binaan kayu sebelumnya. Ianya mempunyai tiga tingkat dan kubah yang terletak di kemuncaknya mencerminkan unsur keislaman seperti pada binaan masjid. Bangunan baru ini siap dibina pada tahun 1906.

Di Balai Nobat ini disimpan segala alat Nobat termasuklah serunai, nafiri, gendang dan gong yang dimainkan dalam upacara-upacara tertentu seperti pertabalan, kemangkatan dan lain-lain upacara rasmi



Balai Seni



Bangunan ini merupakan bangunan Pejabat Kerajaan moden yang terawal dibina di Bandar Alor Star. Ketua pembinaannya ialah Muhammad bin Lebai Tambi, arkitek dari Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah. Pembinaannya bermula pada 21 Januari 1893 (4 Rejab 1310). Setelah siap pada tahun 1893, beliau dipertanggungjawabkan membaik-pulih bangunan Balai Besar.

Bangunan moden yang bercirikan senibina timur dan barat ini pada mulanya dijadikan Mahkamah Besar dan telah dirasmikan oleh Sultan Abdul Hamid Shah. Sewaktu upacara perkahwinan lima orang putera-puteri baginda berlangsung selama tiga bulan (Jun hingga September 1904), bangunan ini ditutup untuk dijadikan Dewan Jamuan Khas untuk VIP.

Pada tahun 1912, beberapa jabatan telah ditempatkan di sini seperti Pejabat Tuanku Sultan, Pejabat Perbendaharaan dan Audit serta Penasihat British. Menjelang tahun 1914, kebanyakan jabatan itu berpindah ke Bangunan Wan Muhammad Saman. Bangunan ini diduduki pula oleh Jabatan Kerja Raya, Jabatan Parit dan Tali Air (Saliran). Sempena perayaan menyambut Jubli Perak pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah (1958-1983), bangunan ini dijadikan Balai Seni Negeri yang dirasmikan oleh baginda pada 25 Julai 1983.

Open Hour: Daily: 10.00am - 6.00pm

Friday: 9.00am - 12.00pm / 3.00pm - 6.00pm

Entrance Fee: Free

No comments:

Post a Comment