Wednesday, June 30, 2010

Masjid Zahir

MASJID ZAHIR



Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin.



Sejarah Masjid Zahir



Mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah, tapak masjid ini pada asalnya adalah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah dari serangan Siam (1821). Reka bentuk masjid ini diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara. Ia dihiasi dengan lima kubah utama sebagai lambang lima Rukun Islam.



Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H (15 Oktober 1915) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat.



Binaan Bangunan

Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412 kaki persegi. Dewan tengahnya (Dewan Solat) berukuran 62 x 62 kaki persegi dan dikelilingi oleh beranda berukuran 8 kaki lebar dengan 4 anjung yang setiap satunya terdapat sebuah kubah. Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 3 tahun. Menara utamanya terletak di bahagian timur laut bangunan masjid itu.

Di belakang Masjid Zahir, terdapat Kompleks Bangunan Mahkamah Syariah dan Pusat Pendidikan Asas Kanak-Kanak. Bangunan ini juga terletak berhadapan dengan Balai Nobat dan Istana Pelamin. Masjid ini merupakan antara mercu tanda seni bina negeri Kedah dan antara masjid tercantik di Malaysia.

 
 
 

No comments:

Post a Comment